Followers

Thursday

Maafkan aku..

Hari ini kolam hati ini tenang bagai tiada satu apapun yang mengocaknya. Dan aku baru saja mengalunkan kalamullah. Sebentar lagi aku akan ke hospital. Sungguh aku merindu saat aku dan al-Furqan menjadi teman yang paling akrab, saat aku merasakan aku tidak sendirian meniti liku-liku kehidupan, saat aku merasakan bahawa aku sentiasa memiliki panduan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dan saat itu aku benar-benar mengharapkan seorang insan untuk sama-sama mengharungi permusafiran dunia. Sungguh kerana destinasi itu terlalu jauh, dan kadang-kala terlalu jerih untuk dilalui sendiri, sehinggakan aku sering menangis mengemis kepadaNya, agar aku dipertemukan dengan dia..

Akhi, pasti kau juga merindu saat itu. Meskipun kau tidak pernah menyatakannya, aku tahu kerenggangan dengan kalamNya sungguh menggigit dan menghiris hati kecilmu. Dan acapkali akulah penyebabnya. Aku menyibukkanmu dengan urusan duniaku, aku menggusarkan perasaanmu dengan kesedihan hatiku, aku melelahkanmu dengan segala permintaanku.. dan kerana aku sering terlupa bahawa aku hadir dalam hidupmu bukan untuk dilayan olehmu, tetapi untuk membantumu menjadi pejuang yang lebih hebat dijalanNya.

Maafkan ku akhi diatas segala kelalaianku. Bagai aku baru tersedar dari mimpi yang panjang. Dan saat untuk aku dipikulkan dengan amanah menjaga seorang mujahid malah telah semakin hampir. Akhi sentiasa ingatkanku tentang tanggungjawabku.. Aku ditugaskan menjadi dayangmu, juga menjadi bidadarimu. Akan ku lakukan segala yang ku termampu.

Aku telah berjanji kepada diri dan kepada Ilahi, bahawa aku akan menjadi pelayanmu yang paling setia, menjadi bidadarimu yang paling menawan, mengutamakanmu dalam setiap sesuatu, membantu meringankan bebanmu dalam urusan dunia, segalanya agar kau menjadi pejuang yang lebih hebat. Kerana kau bekerja untuk membina istana kita disyurga. Kerana aku pasti tidak akan pernah jemu menjadi pendampingmu, sehinggakan aku mengimpikan untuk menjadi pendampingmu juga di daerah abadi.. Pasti aku akan cemburu andai kau nanti memilih yang lain selain dariku

Kebimbangan yang berbenih di hati, pasti ingin dihapuskan oleh dia
Kesedihan yang bertakhta dalam diri, pasti ingin dihiburkan oleh dia
Air mata yang membasahi pipi, ingin ku diseka oleh dia
Keterlupaan yang aku alami, ingin ku diingatkan oleh dia
Kelalaian yang membelenggu diri, ingin aku dinasihati dia
Kesunyiaan yang menggari, ingin ku ditemani dia
Keindahan yang ku rasai, pasti ingin ku kongsi dengan dia
Kasih sayang yang kumiliki, ingin kuberikan pada dia
Keibuan yang berbunga, ingin ku curahkan pada anak dia
Kemanjaan yang menghiasi, ingin ku hiburkan dia
Kerendahan pada diri, ingin ku gunakan menghormati dia
Ketaatan seorang isteri, ingin ku memuliakan dia
Segala apa yang milikku, pasti jua akan menjadi milikmu
Aku hadir dengan kelemahan dan kelebihan
Namun semuanya untuk membuat mu menjadi insan yang teristimewa!

No comments: