Faheem cuba korek keluar anjing and tulisan tu..
Ameer Faheem al-Waseem.... satu ANUGERAH!
Malam tadi kami menerima berita gembira lagi. Alhamdulillah pasangan Nadiah dan Fauzi Akmal dianugerahkan cahayamata pertama mereka, seorang mujahid. Anak bongsu irbid barangkali sebelum tirai 2011 berlabuh. Setiap kali adanya berita kelahiran, saya pasti naluri keibuan tercuit, baik ibu-ibu yang sudah memiliki ramai tentera-tentera kecil, mahupun mereka yang baru akan bergelar ibu. Begitulah kegembiraan yang dibawa bersama suatu kelahiran, kegembiraannya sehingga tersebar dan terkesan pada orang sekitarnya :)
Anak itu anugerah, benarkah? Kata org kedah, "Celah mana?" Aku duduk terkesima, benarkah? Jika sedari kecil menuntut pengorbanan dan kesabaran ibu bapa? Sudahlah mengandung itu payah, melahirkan itu menyakitkan. Bila sahaja lahir, ragamnya cukup melelahkan. Asyik saja menangis kelaparan sehinggakan tidur ayah ibunya terganggu, kemudian baru disusukan, berak pula. Ini tidak lagi dikira kembung perut, sakit itu dan ini, dan macam2 ragam lagi. Menginjak ke dewasa, pelbagai fasa dilalui. Ingin makan segala benda, ingin mencuba setiap sesuatu, tidak mendengar kata, buas dan banyak lagi sehingga tidak tersenaraikan..
Apakah dengan kesusahan ini, anak itu masih dikatakan satu anugerah? Tentulah. Kerana disebalik kepayahan mengandung, ibu ayah tidak jemu mengusap manja anak didalam perut dan tidak sabar untuk menanti saat lahirnya. Disebalik kesakitan melahirkan, dapat menatap wajah comel anak memberikan bahagia yang sukar untuk diungkap. Sehinggakan saat melahirkan itu selalu dirindui untuk dilalui semula. Disebalik ragamnya yang banyak dan acapkali mencabar kesabaran, memenuhi keperluan dan kehendak anak itu membuahkan kepuasan. Puas dapat mengenyangkannya, puas dapat membuatkan dia selesa, puas dapat melihatnya membesar didepan mata, puas dapat mendidiknya. Dan jika anak itu tersasar dalam perjalanan kehidupan, pasti kita ingin sentiasa disampingnya memberikan panduan, biarlah sedalam mana kedegilannya
Ameer Faheem al-Waseem?
Ameer faheem adalah anugerah untuk kami alhamdulillah. Anugerah selama 10 bulan + 9 bulan mengandungkan, hampir 2 tahun kami hidup dengan kehadirannya. Setiap detik yang berlalu adalah detik yang meninggalkan jejak rindu (kecuali ketika alahan mengandung huu). Kini Faheem sudah 10 bulan, kenangan yang tercipta terlalu banyak untuk diabadikan.
Memang ada ketika, kami geram betul dengan ragamnya. Makan segala benda (termasuklah sampah sarap, kasut dsb), koyakkan buku, tabur makanan serata rumah, tak dengar kata. Tapi kami cuba untuk mengerti bahawa kedegilannya adalah untuk mempelajari. Contohnya sudah banyak kali dia cuba untuk pegang api pemanas, kami cukup marah, dan pernah sekali dia berjaya pegang juga, dan terus meraung kesakitan. Saat itu aku marah, tapi marah dengan diri sendiri kerana tidak mampu melindungi dia.
Hari ini kami ke klinik untuk suntikan 10 bulan (ikut jadual suntikan Jordan). Anak2 disitu semuanya diam dan pasif. tiba2 suara anak teruna saya juga yang memecahkan kesunyian. Menegur pasangan kembar lelaki yang lebih kurang sebaya dengannya. "Ahh!.. ahh!" Tiba2 dia senyum. Kembar itu juga tersenyum. Hehe gelagat Ameer Faheem selalu mencuit hati. "Assalamualaikum" saya mengajar Ameer faheem cara untuk menegur kawan. "Alaikassalam" ibu kembar itu menjawab dengan sura halus. "Psst... pssst," dia menyambung. memang itu cara mereka bermain dengan bayi. Faheem pun mula mengeluarkan suara halusnya. Bayi 'shini' kami juga yang hebat! (mereka suka mengejek orang melayu dengan panggilan "Shini" iaitu Chinese. Kata abang itu satu penghinaan)
Dan sejak memiliki Faheem hampir tidak pernah aku berbelanja untuk diri sendiri sehinggakan abang kata, "Setiap kali keluar kita beli barang untuk Faheem je!" Aku tersengih, "Anak kita sorang ni je kan :)". Bahagia
Masih tidak percaya bahawa anak itu anugerah?